Nuffnang

Sabtu, 5 Januari 2019

LIMA BAHAGIAN DALAMAN KERETA YANG TERLEPAS PANDANG

5 Bahagian Dalaman Kereta yang Ramai Pemandu Terlupa Cuci


KERETA ibarat rumah yang menjadi ruang peribadi anda. Di situlah anda makan, minum, bersin, tertumpah kopi, atau najis si kecil dan mengusung kasut berselut atas karpet. Cara paling popular membersihkan kereta adalah mengelap kawasan kotoran dan menvakum yang biasanya dilakukan ketika mencuci kereta.

Tetapi, tahukah anda ada beberapa kawasan kotoran yang anda terlepas pandang?

1. KARPET

Anda kerap menvakum, tetapi sangat jarang sekali mencuci karpet bukan? Walhal, karpet ialah kawasan paling kotor kerana di situlah tempat paling akrab dengan kasut yang anda tumpangkan bersama sisa debu, lumpur, habuk, dan kotoran tanah setiap kali memandu. Itu belum lagi dikira segala macam lelehan dan tumpahan sisa kotoran makanan dan barangan.
Jadi, silalah cuci karpet kereta anda sekarang dan berikan lebih tumpuan kepada karpet bahagian pemandu. Anda boleh cuci sendiri menggunakan pencuci fabrik ataupun hantar saja ke pusat cuci kereta, dan minta dicuci menggunakan pencuci kimia khas. Boleh juga dihantar ke pusat mencuci karpet. Pastikan dijemur sehingga betul-betul kering.

2. BUT

Tiada siapa duduk dalam but, melainkan anda menyeludup lembu ke Siam. But ibarat bilik stor bagi kereta. Di situlah anda campakkan segala macam barang daripada barangan runcit, beg dan bagasi, perabot hingga kepada alat perkakasan dan baik pulih serta barangan pertanian.
Kereta moden hari ini ada menyediakan talam atau pelapik vinil khas untuk bonet. Ini lebih mudah dicuci hanya dengan mengelap. Jika kereta anda tiada, karpet but jadi mangsa kepada pelbagai kotoran yang ditinggalkan. Pernahkah anda mencucinya?
Seperkara lagi, jangan pula dilupakan ruang menyimpan tayar simpanan kerana kotoran dan kelembapan mampu mengotorkan tempat tersebut walaupun anda tidak pernah menyimpan apa-apa di situ melainkan sebuah tayar donat dan jek.

3. SILING BUMBUNG

Bilakah kali terakhir anda mencuci siling bumbung kereta? Tahukah anda, siling bumbung mampu memerangkap bauan daripada asap rokok atau makanan dan mungkin menyebabkan kesan tompokan walaupun anda tidak pernah menyentuh kawasan tersebut sejak mula membeli kereta.
Cara mencuci fabrik pada siling bumbung perlu dilakukan dengan berhati-hati menggunakan bahan pencuci yang betul dan dikeringkan dengan sempurna. Ini kerana kelembapan mampu meninggalkan kesan warna tidak sekata.

4. PEMEGANG CAWAN

Pemegang cawan di sini adalah daripada jenis mempunyai lantai atau tapak, biasanya terletak di konsol gear. Sisa tumpahan minuman yang kering menyebabkan lantai pemegang cawan kotor dan melekit serta berbau. Lebih malang jika pemegang cawan bertona gelap yang menyukarkan anda mengesan sebarang kesan kotoran.
Cara mencuci adalah dengan menuang sedikit air bersabun ke dalam pemegang cawan tersebut dan gunakan berus kecil seperti berus gigi untuk menyental. Buang air kotoran menggunakan kain serap air atau span. Ada sesetengah kereta menyediakan pelapik getah khas pada pemegang cawan. Jadi, anda cuma perlu menanggalkan pelapik tersebut dan mencucinya di rumah sebelum meletakkannya semula.

5. KERUSI

Bahagian penyandar ibarat magnet yang mampu memerangkap pelbagai kotoran, termasuk poket fail di belakang kerusi. Bahagian kerusi lain yang kerap kotor ialah tempat duduk kerana ramai pemandu ada tabiat menyelitkan telefon bimbit mereka di celahan kelangkang ketika memandu. Bukit telefon bimbit itu yang menyebabkan kotoran, tetapi geseran dan sentuhan tangan anda di kawasan berkenaan.
Begitu juga bahagian di kedua-dua sisi kerusi pemandu dan penumpang depan yang bersebelahan konsol tengah. Ini kerana bahagian tersebut kerap menerima pelbagai aktiviti melibatkan sentuhan tangan sama ada kerana menukar gear, menarik brek tangan, mengecas telefon bimbit dan meletak air ke pemegang cawan.
Cara mencuci, jangan lupa memvakum dahulu untuk menghilangkan sisa berpasir yang boleh merosakkan material fabrik atau kulit kerusi. Gunakan bahan pencuci khas untuk jenis material kerusi kereta anda dan gosok menggunakan berus lembut dengan perlahan, tetapi berkali-kali hingga kesan kotoran hilang. Bilas dengan air bersih dan keringkan.
Bagi kerusi fabrik, anda boleh gunakan vakum stim yang memang dikhaskan untuk material jenis itu. Jika tiada, boleh hantar saja ke pusat cucian kereta yang menawarkan servis berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan