Nuffnang

Sabtu, 26 Januari 2019

Tahu tak kalian yang 55% dari ubat moden, asal usulnya datang dari tumbuhan???

Gambar bunga yang saya letak kat bawah tu namanya Galega officinalis. Nama lainnya adalah Goat's rue, French lilac, Italian fitch, atau Professor's Weed. Tumbuhan ni tak ada kat negara kita. Dan ia adalah pokok yang beracun.

Ni sejenis herba sebab zaman antara 500 Masihi hingga 1500 Masihi, ia digunakan secara tradisional untuk merawat kencing manis.

Pada kurun ke 20, zaman pun dah makin maju, saintis-saintis masa tu, dapat mengenalpasti lepas tu mereka mengasingkan 1 sebatian dari tumbuhan ni yang mereka panggil guanidine.

Guanidine ni melalui kajian dalam makmal didapati boleh turunkan kandungan glukosa dalam darah tapi masalahnya ia juga toksik. Sebab mereka ni pakar kimia mereka mendapati kalau 2 sebatian guanidine digabungkan, dan jadi biguanide, maka kesan toksik tu dikurangkan. Hebat kan.

Biguanide yang paling terkenal ialah metformin. Metformin mula-mula dihasilkan pada tahun 1929. Dan pada akhir 1950an, ia telah dibangunkan secara klinikal oleh pakar perubatan Perancis dengan nama Glucophage.
Glucophage = pemakan gula.

Bermula dari situlah, kajian demi kajian dilakukan untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan Metformin untuk digunakan ke atas pesakit diabetes. Kajian di United Kingdom, Prospective Diabetes Study 1977 selama 20 tahun mendapati Metformin kalau dipreskripsikan pada pesakit kencing manis yang berat badannya berlebihan mengurangkan risiko sakit jantung.

Food and Drug Administration di Amerika Syarikat telah membenarkan pemasaran Metformin sebagai ubat kencing manis pada tahun 1994. Tapi masa tu masih dipatenkan dengan nama Glucophage. Pada tahun 2002, paten formulasi Metformin telah tamat tempohnya maka sekarang Metformin harganya lebih murah untuk semua pesakit.

Kenapa saya cerita pasal sejarah Metformin dan apa kaitan dengan produk yang dalam gambar saya bagi tu?

1. Kandungan Guanidine dalam bunga Galega originalis hanya 1-2% saja. Untuk dapatkan kandungan tu, bayangkan berapa banyak tanah mesti digunakan untuk menanam tumbuhan ni. Berhektar-hektar. Dahlah pokok ni beracun pula tu. Yang baki pokok tu nak buat apa? Tak ke sia-sia.

Apa yang saintis buat dalam makmal ialah, hasilkan sebatian yang sebiji rupanya dengan Guanidine. Dan dari situlah jadinya Metformin. Tak payahlah nak susah payah nak usahakan tanah sebab nak tanam pokok ni. Metformin boleh dihasilkan dengan kuantiti yang banyak untuk pasaran satu dunia.

Pada masa sama, sebatian Metformin yang dihasilkan secara komersial mesti mengikut piawaian yang ketat, maka setiap satu biji yang pesakit makan tu kandungan Metformin itu sentiasa dijamin dosnya.

Penggunaan Metformin di dalam mengawal paras gula dalam Type II Diabetes Mellitus terbukti berkesan dan kerana itulah ia termasuk dalam rawatan yang digariskan dalam Clinical Practice Guidelines.

2. Produk yang diiklankan tu sangat mengelirukan. Sebab katanya 100% bahan semulajadi. Saya tak pasti apa maksud kenyataan tu. Tumbuhan-tumbuhan asal yang digunakan dalam produk tu sebenarnya dah melalui proses di kilang dan pastinya setiap langkah tu melibatkan perubahan dalam bentuk fizikal dan metabolisma kimia kan? Tak ke? Semulajadi tu apa sebenarnya? Saya tak faham. Saya dah terangkan kenapa Metformin diperbuat secara sintetik.

3. Untuk pengetahuan, produk ni berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara sebagai ramuan tradisional.
Ia bermakna, produk ni tak boleh mengandungi sebarang bahan aktif. Jadi, kalau tak ada bahan aktif, bagaimana ia bertindak untuk mengawal paras glukosa dalam darah.

4. Berdaftar dengan KKM dalam kategori T bermaksud ianya tak ada kandungan logam berat dan bebas dari mikroorganisma. Itu saja.
Untuk mendapat nombor MAL, pemilik produk tak pun perlu kemukakan sebarang kajian saintifik bertaraf tinggi pun untuk keberkesanannya. Kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang pun memang tak diketahui.
Kajian ke atas binatang tak dikira ya.
Dan kajian kalau setakat sampel kecil, ada banyak kelemahan dan keputusannya boleh dipertikai, maka tak perlulah diulas lagi.
Kesimpulannya, betul ke tak produk ni boleh merawat Diabetes Mellitus sangatlah diragui.

5. Produk dalam kategori T, berdasarkan akta iklan ubat, tak boleh membuat sebarang tuntutan perubatan. Apatah lagi kencing manis yang dikatakan tu termasuk dalam 20 jenis penyakit yang tak boleh diiklankan. Ia jelas melanggar undang-undang.

6. Metformin harganya sangat murah dan terbukti secara klinikal berkesan. Dengan harga RM1 di klinik kerajaan, pesakit bukan saja mendapat ubat-ubatan, malah diberi konsultansi, rujukan kepada pakar bila perlu dan juga pada pegawai pemakanan, dan segala ujian makmal berkaitan.  Bandingkan dengan sekotak produk yang dijual seperti kacang putih oleh mereka yang tak ada langsung ilmu dalam bidang perubatan. Disebabkan mereka tak bertauliah, tak berlesen sebagai pengamal perubatan dan tak berpengetahuan pun, kalau terjadi komplikasi pada pembeli, mereka dengan mudah boleh berlepas tangan. Dan kebanyakan pengguna tak mahu pun membuat laporan kepada pihak berkuasa sebab dah termalu alah sendiri.

7. Saya tahu pesakit saya yang menghidap kencing manis terdesak nak sembuh. Masalahnya sampai sekarang tak ada ubat boleh sembuhkan atau gantikan sel di pankreas yang tugasnya menghasilkan insulin. Saintis masih berusaha. Tapi, dengan kerjasama pesakit yang mengikut nasihat doktor yang merawat, menjaga diet, menjaga berat badan ideal dan mengambil ubat seperti sepatutnya, pesakit pastinya boleh mengawal penyakitnya dan mengelak komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok, retinopathy dan peripheral neuropathy.

Sampai bila kita ni nak terus menerus dijadikan lubuk duit oleh mereka yang mengambil kesempatan? Maka renung-renungkanlah ya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan